Pesanan Penting Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din | | | |
Ditulis oleh Mahadizan | |
Rabu, 25 Mac 2009 23:29 | |
Pesanan Penting Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Mendoakan orang lain tanpa di ketahui olehnya Ikhtiar rawatan yang kita lakukan adalah dengan doa-doa dan ia lebih mustajab lagi apabila kita mendoakan mereka sedangkan mereka tidak mengetahui kita mendoakan untuk mereka sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya; Mafhumnya: Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) Berdosa besar menyembunyikan Ilmu Mempelajari ilmu pengubatan Islam adalah Fardu Kifayah dan ia dituntut supaya ada di kalangan kelompok masyarakat umat Islam mempelajarinya. Ilmu ini tidak boleh disimpan atau dirahsiakan. Adalah berdosa besar menyembunyikan ilmu sebagaimana di sebut oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya; Mafhumnya: Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian ia menyembunyikannya maka Allah akan rantai di Hari Kiamat nanti dengan rantai daripada api neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud) Mengamalkan Ilmu Perubatan Islam sebagai dakwah Mempelajari ilmu pengubatan Islam dan mengamalkannya juga merupakan sebahagian daripada dakwah. Dakwah yang paling besar ialah mengajak masyarakat supaya meninggalkan ilmu-ilmu pengubatan yang mengandungi unsur-unsur syirik yang tidak diakui sah oleh Islam seperti yang diamalkan oleh sebahagian daripada pengamal perubatan tradisional Melayu. Perlu mendapat Ilmu terus daripada guru dan diijazahkan Ilmu pengubatan Islam mesti dipelajari daripada guru secara terus, anak murid seboleh-bolehnya melihat muka tuan guru ketika menerima ilmu tersebut. Kemudian setelah selesai belajar, guru akan mengijazahkan dengan ilmu pengubatan Islam, sebagai tanda tamat belajar. Jangan meninggalkan amalan Bacaan Asas 10 Saya ingin berpesan walaupun apa yang berlaku, apabila saudara hendak menjadi perawat atau pembantu perawat, menjadi pengajar, menjadi guru atau sebagainya, pesan saya ialah jangan tinggal langsung Bacaan Asas 10 Pertama dan Kedua. Sekurang-kurangnya itu yang saudara hafal dan amalkan. Sebab musuh utama kita ialah syaitan dan dia tahu bahawa kita telah belajar ilmu yang boleh menyakiti dia atau tidak menyenangkan dia berada di dalam badan manusia, maka dia dengan sendirinya akan mencari dimana kelemahan yang ada pada kita. Sebagai satu misalan orang yang belajar ilmu silat, apabila tidak mengamalkan ilmu silat tersebut, tidak berlatih menggunakan tenaganya, mengayakan balik buah-buah silat yang dipelajarinya maka dengan sendirinya lama kelamaan dia menjadi seperti orang yang tidak belajar juga. Saya menggunakan analogi ini untuk menyatakan bahawa dalam bacaan 10 pertama dan kedua itu terdapat ayat-ayat yang memang digunakan khas untuk membantu manusia bagi mengatasi masalah gangguan makhluk halus. Bila diamalkan selalu, insya-Allah ia menjadi senjata yang boleh digunakan sebagai perlindungan dari gangguan makhluk halus yang cuba merosakkan kita. Bersabar menghadapi cubaan dan dugaan Bila beramal dengan ilmu-ilmu pengubatan Islam ini, saudara pasti akan berjumpa dengan halangan-halangan kerana “Tidak ada suatu yang baik melainkan ada halangannya, itu adalah perkara biasa” kerana Setiap nikmat yang anda perolehi itu, jangan lupa bahawa ada yang mendengkinya seperti disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya; Mafhumnya: “Berahsialah ketika melaksanakan keperluan-keperluanmu, kerana sesungguhnya setiap yang mendapatkan nikmat ada yang hasad (kepadanya)”. (Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Imam al-Thabrani). Jangan menetapkan bayaran untuk rawatan Prinsip kita memberikan rawatan adalah secara percuma, walaupun syariat Islam tidak menghalang kita menerima pemberian daripada pesakit. Janganlah menetapkan bayaran sebelum dan selepas merawat pesakit. Rawatan yang diberikan hendaklah dengan niat ikhlas kerana Allah SWT. Kita berserah kepada Allah SWT dan membiarkan-Nya memberikan balasan kepada kita. Yang manakah yang lebih baik balasannya? daripada manusia atau daripada Allah SWT? Kita perlu memahami bahawa manusia bersifat kedekut, suka berkira, suka mengungkit, kadang kala sifat manusia ini menyakitkan hati kita. Kita hanya meminta supaya Allah SWT sahaja yang membalas, kerana Dialah sahaja yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi. Wajib menyimpan rahsia pesakit Ketika dirawat, kadangkala pesakit menyebutkan perkara-perkara yang tidak benar dan juga perkara-perkara yang mengaibkan, justeru itu adalah wajib bagi kita merahsiakan cerita-cerita yang diberitahukan kepada kita oleh pesakit. Jangan mengatakan “Buatan Orang atau Kena Sihir” Ketika memberikan rawatan jangan menyebutkan perkara-perkara yang tidak betul umpamanya mengatakan penyakit itu adalah disebabkan sihir atau buatan orang. Kita tidak mengetahui semua itu, yang maha mengetahui hanya Allah SWT. Kerana perbuatan begini (mengatakan sebab sihir atau buatan orang) boleh memecah-belahkan sesama ahli keluarga pesakit dan inilah yang sangat disukai oleh syaitan. Memberikan harapan kepada pesakit Sepatutnya kita memberikan harapan kepada pesakit dengan memberikan keyakinan kepada mereka bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; Mafhumnya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali berserta dengan ubatnya” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari) Allah SWT menurunkan setiap penyakit dan Allah juga yang menyediakan ubat bagi setiap penyakit. Sesuatu penyakit yang dihidapi oleh seseorang adalah salah satu ujian daripada Allah SWT. Ujian tersebut yang sebenarnya sangat kecil jika dibandingkan dengan rahmat Allah SWT yang diberikan kepada kita adalah sangat besar. Elakkan daripada menawarkan diri untuk merawat Kita akan bertemu dengan pelbagai masalah dan kerenah pesakit di dalam masyarakat, jangan menawarkan diri untuk memberikan rawatan sebaliknya berilah rawatan apabila diminta. Ini untuk mengelakkan kita daripada dipersalahkan apabila penyakit itu tidak sembuh atau merebak atau yang lebih buruk daripada itu jika pesakit itu kembali ke rahmatullah. Berikhtiar dan berserah kepada Allah SWT. Semua masalah penyakit, kita hanya merujuk kepada Allah SWT. Daripada-Nya datang segala kebaikan, dan kejahatan tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah SWT. Kita hanya berikhtiar untuk membantu mereka, ada usaha kita dan doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah SWT tangguhkan, yang paling penting kita berikhtiar bersungguh-sungguh dengan ikhlas kerana Allah SWT. Jadilah Hamba Allah yang terbaik Sebaik-baik manusia ialah yang memberikan manfaat kepada orang lain, sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda; Mafhumnya:Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Ahmad dan Thabrani) Saudara perlu mempunyai azam untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Tinggalkanlah segala yang haram dan ambillah yang halal sahaja. Berilah bantuan kepada masyarakat yang datang kepada kita dan memerlukan pertolongan kita. |
0 comments:
Post a Comment